Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?
Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?
Kita
bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah.
Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah
kita mengekalkan isteri kita para benchmark solehah seperti itu di
sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana
kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga,
dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia
mungkin berubah kerana dia memang berubah.
Maka mampukah
kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami
meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak
buat, jadi atau tidak jadi?
Kita mahu
mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana
semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah
Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah
menjadi raksasa!
Jika
bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau
apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian.
Pencarian yang tidak berkesudahan.
Maka
jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si
Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang
solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi
berusahalah menJADI yang soleh.
Bertemu yang
solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya
boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.
Tetapi
jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah
calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang
untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100%
(30% pun belum tentu) mengenalinya.
Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI.
No comments:
Post a Comment